TRAGEDI CINTA 3 SEGI...BILA INSPEKTOR POLIS MEMBUNUH, MENCAMPAKKAN KEKASIH HATINYA KE GAUNG HINGGA REPUT!

No Comments
Kisah ini ditulis oleh Syahril A. Kadir, seorang bekas wartawan jenayah dan kini pegawai peribadi kepada seorang menteri Kabinet di Malaysia. Kisah ini dikongsi di laman Facebook milik beliau. Semoga memberi manfaat kepada para pembaca.



TRAGEDI CINTA 3 SEGI...BILA INSPEKTOR POLIS MEMBUNUH, MENCAMPAKKAN KEKASIH HATINYA KE GAUNG HINGGA REPUT!

KETIKA di Utusan Malaysia dulu, aku pernah mewawancara bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Allahyarham Datuk Fauzi Shaari.

Antara perbualan menarik yang sempat aku ingat ialah Fauzi rupa-rupanya antara pegawai yang terlibat secara langsung dalam siasatan kes pembunuhan seorang wanita, Salbiah Yeop Abdul Rahman di Pulau Pinang.

Kes ini cukup menggemparkan negara satu ketika dulu, ia berlaku pada 15 November 1980…ini kerana suspek kes itu adalah pegawai polis sendiri, Inspektor Saderi Abdul Samat yang ketika itu baru berusia 24 tahun.

Menurut Fauzi yang ketika itu berpangkat DSP, beliau mengambil masa tiga jam untuk menyiapkan rakaman percakapan Saderi. Untuk rekod, mayat Salbiah yang juga seorang pekerja kilang ditemui dalam keadaan hampir reput dan setelah disiasat, pihaknya mendapat tahu arwah adalah kekasih Saderi.

Tetapi ketika itu Saderi sudah pun bertunang dengan seorang wanita lain, Rubiah Tijan.
Setelah soal siasat dibuat ke atas Saderi, pegawai polis itu mengaku telah menghamilkan Salbiah namun suspek berkata, bukan dia yang membunuh mangsa sebaliknya mangsa yang membunuh diri kerana malu dengan keadaan dirinya yang telah berbadan dua.

Menurut Saderi, dia terkejut bila balik ke rumahnya di Mes Pegawai Polis apabila menemui mangsa yang telah tergantung dengan leher yang terjerut.

Kerana bimbang dituduh membunuh Salbiah, Saderi telah menggunakan sebilah gunting untuk memotong tali nylon yang menjerut leher Salbiah untuk menurunkan mayat kekasihnya itu.
Saderi kemudian membawa mayat itu dan diletakkan di tempat duduk penumpang depan kereta yang dipinjam daripada rakannya, Inspektor Che Ibrahim Che Muda sebelum membuang mangsa di sebuah lurah bukit.

Tetapi semasa perbicaraan di mahkamah, ahli kimia, Hoong Seng Hong, dalam keterangannya pula menyatakan adalah mustahil untuk tubuh manusia seberat lebih 45 kilogram boleh tergantung pada paku yang patah pada alang dalam bilik air berkenaan.

Katanya, ujian yang dijalankan mendapati paku terbabit patah akibat ketukan biasa dan membengkok dan bukannya akibat menggantungkan objek seberat 45 kilogram.

Menurutnya, ujian yang dilakukan mendapati paku yang diketuk pada alang terbabit tidak berupaya menahan beban dan menjadi bengkok serta merta sebaik diletakkan beban seguni pasir seberat 45 kilogram

Ujian itu membabitkan penggunaan tiga batang paku sepanjang lima sentimeter setiap satu dengan ketebalan 2.7 milimeter.

Kayu pada alang itu juga keras dan memerlukan kekuatan untuk memakunya ketika dia memaku kira-kira dua sentimeter

“Daripada ujian yang saya lakukan, ianya tidak boleh berlaku. Ia tidak mungkin,” kata ahli kimia itu
Akhir sekali bicara punya bicara, Saderi didapati bersalah dan mahkamah berpendapat teori bunuh diri itu hanya helah Saderi untuk mengelak daripada tuduhan membunuh tersebut
Saderi akhirnya digantung sampai mati pada tahun 1984.

Menariknya kes ini, sampai ke sudah tiada saksi yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan tersebut, tali yang dikatakan menjerut leher Salbiah juga sampai ke sudah tidak ditemui.

Mahkamah hanya menjatuhkan hukuman itu berdasarkan circumstantial evidence (bukti situasi) dan keterangan post mortem yang mengatakan Salbiah mati disebabkan “strangulation and not hanging.”

Berbalik kepada Fauzi, beliau mengatakan yang sampai saat akhir pun, Saderi masih tak mengaku membunuh Salbiah, dia tetap mengatakan yang Salbiah sendiri yang membunuh diri!

Fuh misteri sungguh kes pembunuhan itu...apapun semoga Allah mengampuni tertuduh dan mangsa...dalam kes yang cukup menggemparkan dan sensasi hampir 35 tahun dulu! - Syahril A Kadir

back to top