Bangun awal jika tak mahu bayar tol, kata menteri

2 comments

Bangun lebih awal untuk ke tempat kerja jika tidak mahu membayar tol, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, rakyat boleh memilih jalan alternatif yang disediakan kerajaan jika enggan dan mahu mengelak dari membayar tol.

“Saya nak tekankan, dimana kita letakkan tol kita mempunyai jalan alternatif, ada jalan alternatif dari point A ke point B tanpa melalui tol.

“Bila tidak melalui tol dia akan memakan masa dan menghadapi kesesakan lalu lintas dan menghadapi banyak lampu isyarat.

“Jadi dari segi itu kita kena bahagi masa, kalau tak nak bayar tol, kita kena bahagi masa. Bahagi masa untuk sampai ke destinasi kita mungkin kena turun 15 minit lebih awal, 20 minit lebih awal kena bangun,” katanya dipetik satu portal liberal hari ini.

Pertengahan Oktober lalu sebelas syarikat konsesi lebuh raya mengumumkan kenaikan kadar tol antaranya Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Mengulas lanjut Rahman berkata, kerajaan memperkenalkan tol adalah untuk memendekkan perjalanan namun terpaksa membenarkan konsesi menaikkan kadar tol memandangkan kos untuk penyelenggaraan lebuh raya semakin meningkat.

“Kos untuk menyelanggara ini semakin hari semakin meningkat dan kita tahu bahawa tol tidak naik untuk beberapa tahun dan bila dia naik kita berharap rakyat faham kos itu meningkat,” katanya.

back to top